| |
Honda Sasar Jual 1,600 Unit Honda Freed Baharu Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Honda Malaysia Sdn Bhd menyasar menjual 1,600 unit model Honda Freed setahun, kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak premium yang baru dilancarnya.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Toru Takahashi berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran jualan tersebut.
"Hari ini kami menerima 150 tempahan bagi model ini," katanya kepada pemberita di pelancaran Honda Freed itu, di sini, pada Khamis.
MPV itu, yang dikeluarkan di Indonesia, ketika ini dijual di Jepun, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Malaysia, katanya.
Model dengan gaya kontemporari itu dikuasakan dengan enjin 1.5L i-VTEC. Harga di atas jalan bermula daripada RM112,980 hingga RM115,180.
Bagi Mac tahun ini, Honda menjual 155,134 unit Freed di Jepun, 12,151 unit di Indonesia, 1,0441 unit di Thailand, dan 43 unit di Singapura dan Brunei.
Freed menjadi tarikan terutamanya bagi golongan profesional di bandar yang mempunyai keluarga yang kecil, kata Takahashi.
"MPV juga menawarkan pengalaman pemanduan yang selesa bagi tujuh penumpang dan tempat duduk penumpang barisan ketiga boleh ditukar menjadi ruang kargo tambahan bagi kemungkinan keperluan untuk pemiliknya," katanya.
Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan jualan bagi Mac mencecah 4,041 unit, rekod bulanan tertinggi dalam sejarah syarikat itu di negara ini.
Hanya baru tiga bulan memasuki tahun baru, Honda Malaysia telahpun mencapai 25 peratus daripada sasaran tahunannya sebanyak 40,000 unit.
-- BERNAMA |